MAJULAH SUKAN UNTUK NEGARA
BADAN SIHAT OTAK CERDAS

TUGASAN



KPF 3012: PERKEMBANGAN PENDIDIKAN DI MALAYSIA: FALSAFAH DAN DASAR 


TAJUK ESEI ILMIAH : Penterjemahan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran bagi mata pelajaran opsyen.



Pengenalan
Sebelum kedatangan kuasa penjajah, pendidikan di Tanah Melayu berbentuk tidak formal. Pendidikan tidak formal terawal melalui asuhan keluarga. Corak pendidikan yang ada pada ketika itu berjalan seperti biasa dengan pengajaran al-quran, tingkah laku, dan akhlak yang baik, pengetahuan kerohanian dan seni mempertahankan diri. Penekanannya ialah nilai moral, pembelajaran melalui pendengaran, penglihatan dan pemerhatian. Kanak-kanak mempelajari kemahiran ibu bapa seperti pertanian, perikanan, kraftangan, pertukangan, kemahiran seni silat  dan perburuan. Ibu bapa turut mengajar hal agama, adat dan sopan santun. Nilai murni diterap melalui cerita lisan seperti cerita dongeng, lagenda binatang dan jenaka yang memberi teladan dan pengajaran dalam kehidupan seharian. Pantang-larang dan adat dipelajari melalui pergaulan sosial seperti tunduk apabila lalu di hadapan orang tua. Pendidikan juga dilakukan melalui pantun, teka teki, dan peribahasa. Pada peringkat lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang disebut 'sekolah pondok' yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal. Pelajar-pelajar menuntut di madrasah agama dan tinggal di pondok yang di bina di sekelilingnya. Pada amnya pendidikan tradisi ini mempunyai kurikulum yang terlalu sempit kerana pelajaran adalah terhad kepada teks Al-Quran sahaja.

Semasa kedatangan British perubahan dalam corak pendidikan berlaku.  Pada peringkat lebih teratur terdapat satu sistem pendidikan agama yang disebut 'sekolah pondok ' yang ditubuhkan dan dikendalikan oleh ulama-ulama Islam yang terkenal. Pelajar-pelajar menuntut di madrasah agama dan tinggal di pondok yang di bina di sekelilingnya. Perkembangan pendidikan tidak formal di Tanah Melayu di percayai berkembang sejajar dengan penyebaran agama Islam di Tanah Melayu dan Kepulauan Melayu yang lain pada abad ke-14. Para pedagang Arab dan India yang beragama Islam datang ke Asia Tenggara untuk berniaga dan menyebarkan Islam kepada penduduk setempat. Para pedagang ini telah memulakan usaha menggalakkan pendidikan tidak formal dengan menubuhkan sekolah-sekolah pondok di Perlis, Kedah, Melaka, Terengganu, Kelantan dan Brunei. Perluasan penyebaran Islam ini semakin luas apabila berlaku perluasan empayar Kesultanan Melayu Melaka, Riau dan Brunei pada abad ke-15 yang menyebabkan perkembangan agama Islam dan Institusi pendidikan tidak formal di negeri-negeri yang di takluki tersebut. Antara isi pengajarannya ialah berkaitan dengan pengajian Al-Quran yang di ajar di surau-surau dan masjid yang di buat pada waktu siang dan malam serta di ajar oleh guru yang terdiri daripada syeikh, sayyid, petani atau pun nelayan. Namun, kelebihan yang boleh diperolehi daripada aspek pengajaran sebegini ialah ia telah berjaya mewujudkan ramai tokoh agama yang bukan sahaja terkenal dalam bidang agama, tetapi juga mempunyai tahap etika yang amat tinggi.

Selepas itu, sekolah-sekolah di Tanah Melayu dipecahkan kepada empat aliran , iaitu Sekolah Inggeris, Sekolah Melayu, Sekolah Cina dan sekolah Tamil. Setiap sekolah mempunyai bahasa penghantarnya sendiri dan kurikulum yang berbeza di antara satu sama lain serta menggunakan bahasa ibunda masing-masing dalam proses pengajaran dan pembelajaran. Namun menjelang kemerdekaan, timbul kesedaran untuk mewujudkan satu sistem persekolahan. Beberapa jawatankuasa telah ditubuhkan untuk mengkaji sistem persekolahan pada masa itu dan menghasilkan beberapa laporan. Antaranya Laporan Barnes (1951) yang menyemak dan memperbaiki keadaan pendidikan kaum Melayu, Laporan Fenn-Wu (1951) telah menyemak pendidikan kaum Cina, Ordinan Pelajaran (1952) pula mengesyorkan sekolah kebangsaan sebagai corak sistem persekolahan kebangsaan dan Laporan Razak (1956) pula meletakkan asas bagi perkembangan sistem pendidikan untuk memupuk perpaduan melalui Sistem Pelajaran Kebangsaan untuk semua, Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama serta kurikulum kebangsaan, sukatan pelajaran dan sistem peperiksaan yang sama bagi semua sekolah. Pada peringkat seterusnya terdapat laporan pendidikan yang dirangka untuk menggubal sistem pendidikan bersepadu. Laporan tersebut adalah Laporan atau Penyata Razak (1956) yang bertujuan untuk mewujudkan sistem pelajaran yang sama bagi semua kaum. Sistem ini diketuai oleh Allahyarham Tunku Abdul Razak. Laporan kedua ialah Penyata Rahman Talib (1959) untuk kajian semula cadangan dalam penyata Razak. Cadangan tambahan adalah pendidikan percuma kepada semua pelajar sekolah. Kedua-dua penyata tersebut menjadi asas sistem pendidikan di Malaysia pada hari ini.

Oleh yang demikian, bidang pendidikan di Malaysia telah melalui beberapa fasa transformasi sejak negara kita mencapai kemerdekaan. Transformasi pertama bermula dengan penggubalan Penyata Razak 1965 yang bertujuan untuk merapatkan jurang antara kaum serta memupuk perpaduan nasional melalui penggunaan bahasa kebangsaan sebagai bahasa penghantar di semua sekolah kebangsaan. Seterusnya transformasi kedua tercetus apabila Falsaha Pendidikan Kebangsaan diperkenalkan pada tahun 1988. Hal ini merupakan buat julung kalinya dalam sejarah apabila pendidikan ini diberi satu hala tuju yang jelas bagi memupuk nilai murni pembinaan sahsiah yang seimbang. Di bawah lembayung Falsafah Pendidikan Kebangsaan, pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang lagi potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bagi melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Transformasi yang ketiga pula, mula tercetus sejajar dengan hasrat untuk melihat negara kita Malaysia muncul sebagai negara maju menjelang 2020.

Perkataan falsafah adalah berasal dari dua perkataan Yunani iaitu philo dan shophia. Berpandukan pandangan di kalangan ahli-ahli sejarah menyatakan bahawa Pythagoras yang berasal dari Yunani (sekarang Greece) (500-580 SM) adalah pengasas. Beliau ialah orang yang mula-mula menggunakan lafaz atau istilah Falsafah tersebut. Oleh yang demikian, falsafah membawa maksud "al-bahsu" iaitu yang membawa maksud pengetahuan, kebijaksanaan dan keutamaan. Perkataan falsafah sebenarnya berasal daripada istilah Yunani , Philo membawa maksud cinta manakala Sophos membawa maksud hikmat dan kebijaksanaan. Pythagoras telah menggelarkan dirinya sebagai philosophos atau pencinta kebijaksanaan. Namun ada juga yang mengatakan bahawa Socrates adalah orang yang mula-mula menggunakan istilah Falsafah. Socrates menganggap dirinya sebagai philosophos untuk membezakan dirinya dengan golongan Sophist yang diasaskan oleh Protagoras. Pokok pemikiran Sophisme beranggapan bahawa segala sesuatu itu berubah-ubah dan tidak tetap. Ini bermakna bahawa kebenaran yang hakiki tidak akan tercapai. Oleh kerana kebenaran hakiki tidak tercapai maka setiap pendirian boleh dibenarkan. Mengenai Socrates peranannya yang besar ialah menghadapi kaum Sophist melalui proses dialog untuk mencari kebenaran. Dengan ini Socrates memberi maksud Falsafah itu adalah satu ilmu untuk mencari sebab dan kebenaran kepada punca sesuatu perkara. Melalui istilah Socrates inilah yang menjadi begitu popular lantaran ianya diikuti oleh ramai ahli Falsafah. Berikutan hal tersebut sehingga munculnya Falsafah Islam seperti Farabi dan Ibnu Sina yang memberi erti yang sama. Bagaimanapun pengertian Falsafah secara popular ialah berfikir. Antara ciri-ciri berfikir adalah berfikir secara radikal. Berfikir secara radikal ialah pemikiran secara mendalam hingga keakar umbinya atau asal-usulnya dan hakikatnya. Selain itu, ciri lain pula, berfikir secara universal. Berfikir secara universal bermakna berfikir menurut pengalaman manusia secara umum. Bukan khusus dan terbatas dengan ilmu tertentu sahaja. Dan akhir sekali berfikir secara integral iaitu berpadu secara lengkap pada mana-mana bahagian yang ada.

Pengetahuan kandungan mata pelajaran pengkhususan
Secara umumnya falsafah membawa maksud satu bidang ilmu yang penting dan tidak semua manusia mampu untuk memahaminya dengan baik. Hal ini kerana, pengertian terhadap falsafah memerlukan satu persediaan yang rapi bagi mempelajarinya. Bidang ilmu ini boleh dikatakan sebagai satu bidang yang merangkumi segala bidang ilmu yang terdapat di dunia ini. Ia meliputi segala ilmu pengetahuan yang terdapat di dunia ini. Termasuklah dalam perkembangan sistem pendidikan di negara kita Malaysia yang mengamalkan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dalam proses pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Namun, sekitar akhir tahun 1990-an, penyataan falsafah pendidikan itu disemakan dan diperkemaskan. Kini ia dikenali sebagai Falsafah Pendidikan Kebangsaan, sebagaimana di bawah.
“Pendidikan di Malaysia adalah suatu usaha berterusan ke arah lebih memperkembang potensi individu secara menyeluruh dan bersepadu untuk melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Usaha ini adalah bertujuan untuk melahirkan warganegara Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberikan sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara.”

Bagi mencapai pelaksanaan falsafah tersebut, Kementerian Pendidikan telah merangka satu sukatan pelajaran bagi setiap subjek yang diajar di sekolah. Untuk Bahasa Melayu dinamakan Sukatan Pelajaran Kurikulum Baru Sekolah Rendah (KBSR) Bahasa Melayu untuk digunakan di sekolah rendah, manakala Sukatan Pelajaran Kurikulum Bersepadu Sekolah Menengah (KBSM) Bahasa Melayu untuk digunkan di sekolah menengah. Selaras dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan yang termaktub dalam Akta Pendidikan 1996, Bahasa Melayu ialah mata pelajaran teras di semua sekolah rendah dan menengah. Peranan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa perpaduan bagi rakyat di Malaysia. Pendidikan Bahasa Melayu berhasrat membina perasaan bangga terhadap bahasa yang mencerminkan akal budi dan pemikiran rakyat. Di samping itu juga berperanan sebagai pemangkin kepada semangat cinta akan tanah air yang dikongsi bersama oleh semua rakyat negara kita yang terdiri daripada pelbagai kaum dalam satu wawasan. Pendidikan Bahasa Melayu mempunyai potensi untuk dimartabatkan dan diperluas ke peringkat antarabangsa menerusi teknologi maklumat dan komunikasi. Sudah jelaslah Kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah bertujuan untuk memenuhi hasrat Falsafah Pendidikan Kebangsaan bagi melahirkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, emosi, rohani, dan jasmani. Kurikulum Bahasa Melayu tersebut menyediakan dan membentuk murid menguasai kecekapan berbahasa dan berkomunikasi dengan menggunakan peraturan tatabahasa secara betul dan tepat hasil dari sesi pembelajaran tersebut. Murid akan mampu mengungkapkan bidang ilmu daripada pelbagai disiplin atau mata pelajaran. Di samping itu, murid akan mampu mengembangkan kemahiran berfikir secara kritis dan juga kreatif. Manakala Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah merangkumi kemahiran bahasa di kalangan murid-murid, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis. Penumpuan pada kemahiran-kemahiran ini membolehkan murid menggunakan bahasa Melayu secara lebih berkesan lagi dalam kehidupan harian dan sebagai bahasa ilmu untuk pembelajaran seumur hidup mereka. Pendidikan Bahasa Melayu juga memberikan pertimbangan terhadap pelbagai gaya pembelajaran, minat, dan kecerdasan yang berbeza antara satu sama lain di kalangan murid. Hal ini dapat kita lihat  dengan menekankan pembelajaran masteri dan penerapan kemahiran bernilai tambah terhadapmurid-murid. Aktivti kokurikulum yang dijalankan di luar waktu sekolah juga penting sebagai sokongan untuk memantapkan ilmu dan pengalaman pembelajaran di bilik darjah. Huraian Sukatan Pelajaran merupakan perincian kepada kandungan sukatan pelajaran Bahasa Melayu sekolah rendah dan berfungsi sebagai panduan untuk guru dalam pengajaran dan pembelajaran.

Huraian Sukatan Pelajaran ini disediakan bagi setiap tahun pembelajaran, iaitu tahun satu hingga tahun enam. Huraian Sukatan Pelajaran ini mengandungi Matlamat, Objektif, Organisasi Kurikulum, Penerangan tentang Huraian Sukatan Pelajaran, dan Strategi Pengajaran dan Pembelajaran. Organisasi Kurikulum merangkumi Kemahiran Bahasa, Hasil Pembelajaran, Sistem Bahasa, dan Pengisian Kurikulum. Matlamat Huraian Sukatan Pelajaran ini ialah  matlamat kurikulum Bahasa Melayu sekolah rendah adalah untuk melengkapkan murid dengan keterampilan berbahasa dan berkomunikasi untuk memenuhi keperluan ini untuk memperoleh ilmu, perhubungan sosial, dan urusan harian. Pelajar di sekolah akan diajar dan dididik oleh guru cara untuk berbahasa dab berkomunikasi dengan betul sebagai bekalan dalam kehidupan seharian.
Kementerian Pendidikan Malaysia  pendidikan peringkat rendah adalah pendidikan yang bertujuan untuk melahirkan insan yang seimbang serta berkembang secara menyeluruh dan bersepadu dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani selaras dengan hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) dan Falsafah Pendidikan Negara. Pada peringkat ini, Bahasa Melayu diajarkan sebagai mata pelajaran wajib, selaras dengan status bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa rasmi negara. Bahasa Melayu perlu dikuasai pada peringkat awal bagi membolehkan murid-murid berkomunikasi dan menimba ilmu pengetahuan, seperti kata pepatah Melayu, melentur buluh biarlah dari rebungnya. Oleh itu, huraian sukatan pembelajaran telah digubal bertujuan untuk memberi panduan dan membantu para guru dalam melaksanakan pembelajaran yang berkesan. Objektif mata pelajaran bahasa melayu tahun Lima antaranya ialah mengajak para pelajar untuk mendengar dan memahami pengucapan dengan teliti serta menghayatinya dalam konteks perbualan harian dan situasi formal, meningkatkan kefahaman untuk bertutur dengan petah menggunakan sebutan dan intonasi yang bertatasusila (beradab) dalam pelbagai situasi. Selain itu, objektif pelajaran ini juga adalah untuk berbincang dan berkongsi pendapat tentang sesuatu perkara, untuk menyelesaikan masalah, mencapai persetujuan, dan membuat keputusan. Di samping itu, pelajar akan dapat membaca dan menghayati pelbagai bahan sastera dan bukan sastera yang berunsur ilmu. Mereka akan diberi tunjuk ajar dan bakat akan diasah melalui sesi pembelajaran. Contohnya mencipta pantun, bersajak, syair dan sebagainya. Pelbagai program telah disediakan oleh guru bagi menjayakan objektif ini. Antaranya mengadakan pertandingan sesama murid atau di antara sekolah. Seterusnya, pelajar akan mengamalkan budaya membaca dalam kehidupan harian. Hal ini sejajar dengan matlamat negara kita yang amat menggalakan budaya membaca di kalangan pelajar mahupun masyarakat. Pelajar juga akan dapat menghasilkan pelbagai jenis penulisan kreatif dan berunsur pengetahuan dengan menggunakan proses penulisan yang sesuai. Mereka juga akan dapat menulis teks dengan menggunakan tulisan berangkai yang cantik dan kemas. Di samping itu dapat menghasilkan karangan dengan menggunakan tidak kurang daripada 100 perkataan. Dan akhir sekali adalah dapat menggunakan bahasa baku yang meliputi tatabahasa, kosa kata, sistem ejaan, dan sebutan yang betul, dan menghayati dan mengamalkan nilai murni, sikap positif, semangat patriotisme, dan kewarganegaraan selaras dengan konsep 1 Malaysia yang negara kita tekankan kepada seluruh warga Malaysia.

Kemahiran spesifik yang hendak dicapai dan kemahiran lain yang digabungjalinkan.
Kurikulum Bahasa Melayu Sekolah Rendah di bawah Falsafah Pendidikan negara kita digubal dengan memberikan fokus kepada Hasil Pembelajaran yang perlu dikuasai oleh murid. Terdapat beberapa kemahiran spesifik yang hendak dicapai melalui teras Falsafah Pendidikan Kebangsaan ini. Hasil Pembelajaran ini berteraskan kemahiran bahasa, iaitu Kemahiran Mendengar dan Bertutur, Kemahiran Membaca, dan Kemahiran Menulis.  Hasil Pembelajaran ini juga menggabungkan peraturan dalam Sistem Bahasa dan disokong oleh elemen Pengisian Kurikulum terhadap murid-murid. Terdapat beberapa kemahiran yang pelajar akan dapat hasil daripada pembelajaran tersebut. Anataranya kemahiran bahasa yang meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis. Merujuk isi dalam kandungan buku Teks Bahasa Melayu yang digunakan untuk sesi pengajaran dan pembelajaran terdapat 15 unit yang mengandungi pelbagai tema. Pelbagai tema tersebut meliputi tema yang bersesuaian dengan keperluan pendidikan semasa. Setiap unit dibahagiakan kepada tigabahagian iaitu Bahagian 1 (Aras 1), Bahagian 2 (Aras 2) dan Bahagian 3 (Aras 3). Aktiviti dan latihan yang dimuatkan dalam buku ini adalah untuk membolehkan murid menguasai kemahiran bahasa bagi setiap Hasil Pembelajaran yang telah ditetapkan dalam Sukatan Pelajaran dan Huraian Sukatan Pelajaran Bahasa Malaysia. Kemahiran Bahasa yang meliputi kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis ini merupakan teras kepada penguasaan bahasa baku. Kemahiran Mendengar merujuk kepada keupayaan murid mendengar dengan teliti, memberikan maklum balas dan memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan. Kemahiran mendengar ini adalah kemahiran lisan yang paling asas dan ia berlaku pada peringkat penerimaan. Penguasaan terhadap kemahiran ini amat penting dalam aspek kemahiran berbahasa kerana merupakan kemahiran paling asas dalam kemahiran berbahasa. Justeru, kita akan melihat apakah yang dimaksudkan dengan kemahiran mendengar ini dan beberapa lagi aspek tentang kemahiran berbahasa. Proses mendengar adalah satu proses fizikal yang melibatkan telinga sebagai alat penerima bunyi bahasa yang diperdengarkan. Proses memahami pendengaran pula melibatkan proses psikologi dan mental seperti pengamatan, kecerdasan dan pemikiran yang disepadukan untuk membolehkan seseorang memahami apa yang didengar dan melakukan tindakbalas yang sesuai dengan apa yang didengari. Kemahiran mendengar merupakan satu kemahiran yang penting dan perlu dikuasai oleh pelajar bersesuaian dengan Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Objektif tersebut ialah setelah akhir pengajaran dan pembelajaran bahasa melayu murid dapat mendengar pengucapan dengan teliti dan memahami serta menghayati pengucapan dalam konteks  perbualan harian dan formal. Pelbagai aktiviti boleh dilakukan untuk memastikan murid-murid telah dapat menguasai kemahiran-kemahiran bahasa dengan baik. Contohnya dalam kemahiran mendengar ini terdapat beberapa aktiviti untuk menguji atau meningkatkan tahap kemahiran mendengar setiap pelajar. Antaranya aktiviti yang dilakukan ialah mendengar dan menyebut perkataan. Pelajar akan mendengar guru menyebut sesuatu perkataan. Seterusnya pelajar dikehendaki mengulangi perkataan yang disebut oleh guru tersebut secara berulang kali. Misalnya jika guru menyebut perkataan ladang atau padang, lantai atau pantai, lali atau lori, galah atau kalah dan sebagainya. Selepas itu pelajar juga perlu mengulang dan menyebut perkataan yang sama dengan guru. Hanya pelajar yang menguasai kemahiran mendengar dengan baik dapat mengulangi perkataan yang disebut oleh guru. Pelajar diuji untuk menyebut perkataan yang hampir sama sebutannya berulang-ulang kali. Ayat yang dibentuk berasaskan perkataan tersebut mestilah bermakna untuk memaksimumkan kesannya. Contoh- contoh ayat pemintal lidah ialah pandang tandan depan padang, dari darah dan nanah yang hanyir tumpah ke tanah, berat beras dua belas kilo dan tulang temulang di atas belulang.


Kemahiran bertutur pula merupakan kemahiran kedua dalam aspek kemahiran berbahasa. Kemahiran ini dikuasai dan dipelajari selepas seseorang pelajar berjaya menguasai kemahiran mendengar. Kemahiran ini dikatakan sebagai dikuasai selepas menguasai kemahiran mendengar kerana kedua-dua kemahiran lisan ini mempunyai kolerasi antara satu dengan yang lain. Hal ini kerana, jika seseorang pelajar itu tidak berjaya menguasai kemahiran mendengar bermakna dia tidak dapat mengetahui tentang bahasa yang digunakan. Sekali imbas, dapat ditafsirkan kemahiran bertutur ini sebagai kegiatan melafazkan bunyi-bunyi yang dilahirkan daripada alat sebutan (artikulator) manusia. kemahiran bertutur iaitu kemahiran menyebut dan membunyikan bunyi-bunyi bahasa dengan pengujaran kata-kata atau ayat dalam intonasi, nada (tekanan suara ), jeda serta helaan yang betul. Bagi setengah-setengah bahasa, perubahan kepada unsur-unsur ini akan melibatkan perbezaan maksud atau makna. Mengenal pasti intonasi yang berbeza-beza ini amat penting bagi mewujudkan suasana pertuturan yang baik, licin dan lancar. Oleh itu aspek ini juga perlu diberi penekanan dalam pengajaran dan pembelajaran. Pertuturan adalah gabungan daripada bunyi-bunyi bahasa yang dilafazkan. Proses pertuturan berlaku di peringkat produksi. la berlaku setelah si penutur itu dapat mendengar dan memahami dengan baik apa yang didengarnya. Individu banyak belajar bertutur melalui pengalaman daripada kecerdasan otaknya. Kemahiran bertutur  dipengaruhi aspek fizikal, kesihatan, persekitaran, dan jantina. Pertuturan yang baik boleh dikuasai dengan memberi tumpuan kepada aspek fonologi, struktur, intonasi dan penguasaan sistem bunyi yang lain. Kemahiran ini juga merujuk kepada keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan pendapat, perasaan, maklumat serta idea yang bernas dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberikan pada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai dengan situasi serta perkara yang hendak diucapkan. Lazimnya Kemahiran Mendengar dan Kemahiran Bertutur dijalankan serentak dan dikenali sebagai Kemahiran Mendengar dan Bertutur. Hal ini disebabkan, dalam Kemahiran Mendengar akan melibatkan kemahiran pertuturan seseorang murid tersebut. Kemahiran Bahasa juga merupakan teras penguasaan bahasa baku dan Kemahiran Mendengar merupakan keupayaan murid mendengar dengan teliti , memahami perkara yang didengar dalam pelbagai situasi pengucapan, serta dapat memberikan maklum balas. Kemahiran Bertutur merupakan keupayaan murid berbual untuk menjalin hubungan dan menyampaikan maklumat, pendapat, perasaan, serta idea yang kritis dan kreatif dengan sebutan dan intonasi yang betul secara sopan. Penekanan diberi kepada penggunaan pengucapan yang menggunakan tatabahasa yang sesuai.
.
Dalam pengajaran dan pembelajaran yang dilakukan di sekolah, kemahiran bertutur diajarkan kepada murid-murid bagi membolehkan murid-murid bertutur dan mengeluarkan buah fikiran dan idea dengan menggunakan bahasa yang sesuai dan betul dalam pelbagai keadaan perhubungan seperti perbualan dengan rakan-rakan, guru, ibu bapa, masyarakat serta dalam aktiviti perbahasan dan syarahan. Dalam menguasai kemahiran tersebut, guru haruslah memastikan murid boleh bertutur dengan betul dari segi sebutan, intonasi serta menggunakan perkataan dan ayat dengan tepat. Pengajaran dan pembelajaran bertutur haruslah membolehkan murid dapat menyebut dengan jelas, menyampaikan atau melahirkan pendapat peribadi, menunjukkan arah, bertemu ramah, memberikan penerangan dan memberi alasan, membina soalan untuk mencari maklumat, bertukar-tukar pendapat dan maklumat, melaporkan peristiwa dan member sesuatu huraian dengan tepat, bertutur secara bertatasusila serta bertutur menggunakan bahasa yang tepat dan sesuai dengan pendengar dan situasi.

Dalam bahasa pertuturan, walaupun lumrahnya aspek tatabahasa tidak begitu dipentingkan tetapi untuk memperolehi kebiasaan bertutur atau bercakap dengan baik dan berkesan aspek ini haruslah ditekankan. Kelancaran membawa maksud seseorang pelajar itu boleh bertutur atau bercakap dengan baik, kemas dan teratur. Waktu bercakap mereka tidak menghadapi sebarang masalah dan tiada gangguan semasa percakapan itu berlangsung. Kefasihan bererti murid-murid boleh bercakap bukan sahaja dalam bentuk yang kemas, teratur dan lancar tetapi mereka juga boleh membunyikan kata atau menyebut perkataan dan ayat-ayat yang dituturkan itu secara jelas dan tepat. Mereka boleh bercakap seperti seorang penutur jati yang terpelajar. Laras bahasa dalam konteks ini ialah murid-murid boleh menggunakan bahasa dalam berbagai-bagai konteks, suasana dan situasi yang sesuai. Tujuannya ialah supaya pelajar boleh menggunakan bahasa itu untuk tujuan berkomunikasi secara berkesan lagi.

Membaca adalah kemahiran yang seharusnya dikuasai oleh pelajar setelah menguasai kemahiran mendengar dan bertutur. Membaca ialah memindahkan tulisan kepada suara. Membaca juga bermaksud menyuarakan tulisan,mengambil isi dan fikiran yang tertulis dan memahamkan kandungannya. Menurut konsep kemahiran membaca pula mengikut fahaman dahulu, membaca ialah semata-mata memindahkan tulisan kepada suara. Seseorang murid akan dianggap pandai membaca jika mereka boleh menyuarakan tulisan dengan walaupun tidak faham lagi isi yang dibacanya. Membaca juga boleh didefinisikan sebagai satu proses pemikiran yang membina. Ini bermaksud dengan membaca seseorang itu mesti dapat membina kebolehan menilai,mengulas dan mngkritik apa sahaja yang dibaca dengan tepat,memahami kehendak situasi dan aspirasi masyarakat di sekeliling, membina sikap dan cita-cita serta fikiran yang terbuka dan positif. Boleh membaca bermaksud boleh membaca dengan cepat,tidak teragak-teragak,boleh membaca dengan serta-merta dan tidak payah mengambil masa yang amat panjang. Boleh memaham pula bereti boleh menangkap dengan pantas makna atau maksud yang dibaca.Ini bermaksud murid-murid memberi buah fikiran mereka sendiri, menggunakan perkataan-perkataan sendiri untuk menyatakan apa yang dibacanya. Hal inilah yang akan diperolehi daripada sesi pembelajaran bahasa melayu. Kemahiran Membaca merujuk kepada keupayaan murid membaca ayat dengan sebutan, intonasi, jeda, dan kelancaran yang betul. Kemahiran membaca merupakan salah satu daripada empat kemahiran bahasa yang penting dalam proses pengajaran dan pembelajaran bahasa. Kemahiran membaca adalah lanjutan daripada kemahiran-kemahiran asas seperti mendengar dan bertutur. Melalui pembacaan, seseorang itu mampu menimba ilmu pengetahuan yang tidak dapat diperolehi menerusi pengalaman-pengalaman biasa yang lain.

Selain berkomunikasi secara lisan atau pun melalui bacaan, manusia juga berkomunikasi melalui tulisan. Malah bahasa tulisan adalah satu bentuk komunkasi yang paling tinggi dan kompleks. Menulis adalah satu kemahiran dan juga sebagai saluran untuk seseorang melahirkan perasaan dan idea. Tulisan juga adalah saluran utama bagi murid-murid untuk menunjukkan pengetahuan dan mereka dalam mata pelajaran akademik yang lebih tinggi. Tulisan ialah lambang-lambang bunyi bahasa yang telah dipindahkan dalam bentuk grafik bagi melahirkan perasaan, fikiran dan idea. Menulis adalah proses memindahkan lambang-lambang bunyi yang tersusun dan teradun bagi melahirkan bunyi-bunyi yang bermakna serta dijadikan alat komunikasi. Sebelum seseorang dapat menggunakan tulisan sebagai media untuk berkomunikasi, ia perlu menguasai kemahiran menulis secara mekanis dahulu, dan selepas itu barulah ia dapat menulis untuk tujuan berkomunikasi dengan orang lain. Seseorang individu menulis untuk menyatakan idea dan perasaannya atau apa sahaja yang ingin disampaikannya supaya dapat dibaca dan difahami oleh orang lain. Kita terus sahaja melihat kepada apa yang disebutkan sebagai kemahiran membaca ini. Penekanan perlu diberikan pada aspek pemahaman dan penaakulan pelbagai bahan secara kritis dengan menggunakan pelbagai teknik membaca. Manakala, Kemahiran Menulis merujuk kepada keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas dan cantik. Murid juga digalakkan untuk menggunakan kreativiti mereka bagi menghasilkan penulisan bahan berunsurkan pengetahuan dan penulisan imaginatif. Seterusnya adalah Kemahiran Menulis merupakan keupayaan murid menulis perkataan dan ayat dan mengeluarkan idea melalui pelbagai jenis penulisan yang berkaitan dengan ilmu pengetahuan dan pengalaman peribadi yang telah dilalui dengan menggunakan ayat yang gramatis, tanda baca dan ejaan yang betul, serta tulisan yang jelas, cantik, dan kemas. Setiap murid juga digalakkan menggunakan kreativiti mereka untuk menghasilkan penulisan bahan berunsur pengetahuan dan penulisan imaginatif. Penguasaan kemahiran bahasa memerlukan kepelbagaian situasi dan konteks yang meliputi bentuk prosa, puisi, dan grafik. Dalam hal ini, kita dapat memahami bahawa tulisan merupakan satu bentuk pelahiran perasaan yang kita hasilkan atau keluarkan. Dalam maksud lain, apabila kita menyatakan sesuatu melalui pertuturan ataupun perasaan serta pemikiran kita, pertuturan, perasaan dan pemikiran tersebut dizahirkan atau diungkapkan dalam bentuk lambang-lambang tulisan. Kesimpulannya, tulisan merupakan lambang-lambang bunyi bahasa yang dipindahkan ke dalam bentuk grafik untuk melahirkan perasaan. Latihan-latihan mental yang boleh dijalankan untuk mendapat kemahiran menulis ini ialah latihan pernyataan fikiran atau pendapat, latihan pernyataan perasaan, latihan pernyataan kehendak dan latihan mengeluarkan pendapat-pendapat yang tulen dan asli. Oleh yang demikian, seperti yang kita ketahui bahawa, kemahiran berbahasa itu merupakan kemahiran-kemahiran yang perlu dikuasai dalam penguasaan bahasa yang mana meliputi tiga kemahiran iaitu kemahiran lisan mendengar dan bertutur, membaca dan menulis.

Nilai-nilai murni unggul yang diterapkan
Dalam sesebuah masyarakat, nilai murni amat perlu diterapkan bagi mewujudkan suasana yang seimbang dari segi rohani dan jasmani. Usaha penerapan nilai murni ini perlu dilakukan pada peringkat awal proses sosialisasi lagi, iaitu semasa individu itu berada pada peringkat persekolahan. Falsafah Pendidikan Negara melalui hasrat Kurikulum Bersepadu Sekolah Rendah (KBSR) berhasrat supaya generasi muda yang dididik mempunyai asas yang kukuh nilai murninya. Oleh yang demikian, penerapan nilai murni melalui pengajaran Bahasa Melayu pada peringkat sekolah rendah amat dititikberatkan. Pendekatan Penerapan Nilai kerana ciri-ciri dan cara pelaksanaannya dapat disesuaikan dengan keperluan pendidikan nilai yang dilaksanakan dalam KBSR. Pelbagai kaedah penerapan nilai oleh guru melalui proses pengajaran dan pembelajaran di dalam kelas yang menggunakan pelbagai alat seperti bahan penulisan kreatif dan model contohan. Nilai murni dapat didefinisikan sebagai perlakuan yang baik, peradaban dan tatasusila individu manusia dalam hubungannya sesama manusia, alam dan tuhan. Keseimbangan dan keharmonian yang terdapat dalam Falsafah Pendidikan Negara akan dapat dicapai jika nilai-nilai murni ini dapat direalisasikan melalui kurikulum khususnya dalam pendidikan formal dan tidak formal. Hal ini bagi bertujuan supaya ilmu pengetahuan akan dapat diperkembangkan sebagai pelajar yang akan hidup bermasyarakat. Sebagai pelajar akan diasuh agar menyeru dan menyedarkan sesama insan yang lain.

Seperti yang terkandung dalam Falsafah Pendidikan ini menjurus ke arah mencirikan insan dan warganegara yang baik dengan mengemukakan ciri-ciri pelajar percaya dan patuh kepada tuhan, berilmu pengetahuan, berakhlak mulia, bertanggungjawab kepada diri, masyarakat, agama dan negara. Selain itu, berbakti dan memberi sumbangan kepada masyarakat, agama. Bangsa dan negara. Serta memiliki sahsiah yang seimbang dan sepadu. Di sekolah penerapan nilai murni boleh disepadukan melalui, pertuturan, perlakuan, teladan, isyarat, kefahaman, interpretasi dan konteksual. Tujuan pendidikan nilai murni ialah untuk membentuk pelajar supaya berperibadi mulia dan mampu dalam membuat keputusan berdasarkan nilai moral diri, keluarga, komuniti dan masyarakat.

Terdapat 16 nilai-nilai murni yang dapat diterapkan kepada pelajar hasil daripada pembelajaran Bahasa Melayu. Antaranya nilai baik hati. Sikap sentiasa mengambil berat terhadap perasaan dan kebajikan orang lain secara tulus ikhlas. Sikap baik hati boleh dilihat dengan menilai tindak tanduk orang lain. Ini meliputi aspek belas kasihan, bertimbang rasa, murah hati, saling faham memahami dan sedia memaafkan. Di samping itu penerapan nilai berdikari iaitu kebolehan dan kesanggupan melakukan sesuatu tanpa bergantung kepada orang lain. Berdikari dalam konteks ini membawa pengertian bertanggungjawab, berupaya bertindak sendiri, jaya diri dan yakin pada diri sendiri. Selain itu nilai hemah tinggi. Pelajar akan diterapkan cara berbudi pekerti dengan tingkah laku mulia dan lemah lembut yang patut diamalkan oleh seseorang individu dalam hubungannya dengan ahli masyarakat yang lain. Ciri-ciri berhemah tinggi adalah kesopanan, mengakui kesalahan dan ramah mesra. Seterunya adalah nilai hormat menghormati iaitu menghargai dan memuliakan seseorang dan institusi sosial dengan memberi layanan yang bersopan. Ini merangkumi hormat dan taat kepada ibubapa, hormat kepada orang yang lebih tua, guru, rakan, jiran tetangga dan pemimpin, hormat kepada raja dan negara,  patuh kepada undang-undang, hormat kepada hak asasi, hormat kepada kepercayaan dan adat resam pelbagai keturunan, hormat kepada keperibadian individu. Nilai kasih sayang turut diterapkan iaitu perasaan cinta, kasih sayang yang mendalam dan berkekalan. Rasa ini lahir dari hati yang rela terhadap sesuatu, tanpa sebarang unsur kepentingan diri seperti sayang kepada nyawa, sayang kepada alam sekeliling, cinta kepada negara, cinta kepada keamanan dan keharmonian. Nilai yang seterunya ialah keadilan iaitu perlakuan, pertuturan dan keputusan yang saksama serta tidak berat sebelah. Nilai kebebasan yang dimaksudkan ini, tertakluk kepada peraturan dan undang-undang yang ditentukan oleh agama, masyarakat dan negara. Contohnya ialah kebebasan di sisi undang-undang, kebebasan dalam sistem demokrasi. Seterunya ialah nilai Keberanian. Kesanggunpan seseorang untuk menghadapi cabaran dengan yakin dan tabah hati. Keberanian itu perlu ada pada setiap orang. Tetapi ia harus tahu batas dan keupayaannya kerana keberanian yang melulu mengakibatkan bencana. Nilai ini merangkumi berani dengan tidak membuta tuli, berani kerana benar, berani mempertahankan pendirian dan berani bertanggungjawab. Selain itu, kebersihan fizikal ialah kebersihan diri dan kebersihan persekitaran. Kebersihan mental pula merangkumi pertuturan, perlakuan, pemikiran dan kerohanian. Antaranya ialah kebersihan diri, kebersihan persekitaran, pertuturan dan kelakuan yang bersopan dan pemikiran yang sihat dan membina. Nilai kejujuran juga diterapkan iaitu sikap dan perlakuan yang menunjukan niat baik, amanah dan ikhlas tanpa mengharapkan sebarang balasan. Nilai kerajinan iaitu saha berteruan yang penuh dengan semangat ketekunan, kecekalan, kegigihan, dedikasi dan daya usaha dalam melakukan sesuatu perkara. Pelajar juga diajar kerjasama iaitu usaha baik dan membina yang dilakukan secara bersama pada peringkat individu, komuniti, masyarakat atau negara untuk mencapai sesuatu matlamat seperti persaudaraan, tanggungjawab bersama, gotong royang, ketoleranan dan perpaduan. Seterusnya  Kesedaran dimana sikap tidak keterlaluan dalam membuat pertimbangan dan tindakan sama ada dalam pemikiran, pertuturan atau perlakuan supaya sesuai dengan norma dan nilai masyarakat. Ini termasuklah sederhana dalam menimbangkan kepentingan diri dan kepentingan orang lain. Serta tidak keterlaluan dalam pertuturan dan tingkah laku. Nilai kesyukuran turut dipupuk. Perasaan dan perlakuan yang dilahirkan secara ikhlas di atas nikmat dan kesenangan yang diperolehi seperti berterima kasih,, mengenang budi dan penghargaan. Seterusnya ialah nilai rasional. Pelajar boleh berfikir berdasarkan alasan dan bukti yang nyata dan dapat mengambil tindakan yang sewajarnya, tanpa dipengaruhi oleh perasaan. Umpamanya seperti boleh membuat pertimbangan, boleh membuat penakulan dan berfikiran logik dan terbuka. Nilai yang terakhir ialah semangat Bermasyarakat. Kesediaan melakukan sesuatu untuk kepentingan bersama bagi mewujudkan keharmonian hidup dalam masyarakat seperti bermuafakat, kerajinan dan peka kepada isu-isu sosial dalam masyarakat.

Kesemua 16 nilai yang dipilih untuk disisipkan kedalam pendidikan adalah nilai-nilai yang dapat menjadikan seseorang itu manusia yang dihormati dan boleh memainkan peranan yang aktif dalam menjamin keharmonian dalam masyarakatnya serta dapat menyumbang kearah pembangunan masyarakat. Tindakan kerajaan menukarkan kurikulum lama kepada kurikulum baru iaitu pendidikan bersepadu (KBSM) adalah satu langkah yan bijak dan tepat. Ini menunjukkan kerajaan ada campurtangan dan turut memberi penekanan kepada bukan sahaja ilmu yang bersifat kerohanian dan keduniaan tetapi juga ilmu moral yang lebih bersifat kejasmanian dan kemurnian. Pendidikan akan sentiasa terus berlangsung. Matlamat akhir pendidikan bersepadu adalah merupakan integrasi tanggungjawab membentuk insan yang baik dan seimbang dari segi rohani, jasmani, emosi dan intelek selaras dengan kehendak Falsafah Pendidikan Negara.

Elemen Merentas Kurikulum (EMK)
Terdapat beberapa elemen dalam pengisian kurikulum, iaitu ilmu daripada pelbagai bidang ilmu,nilai,kewarganegaraan , peraturan sosiobudaya, dan kemahiran bernilai tambah, iaitu kemahiran berfikir, kemahiran teknologi maklumat dan komunikasi, kemahiran belajar cara belajar, kajian masa depan, kecerdasan pelbagai , serta pembelajaran secara konstruktivisme, dan kontekstual. Setiap modul yang diajar kepada pelajar akan di terapkan elemen- elemen seperti merentas kurikulum (EMK) iaitu keusahawanan, kreativiti dan inovasi dan teknologi maklumat & komunikasi serta aspek kerohanian, sosioemosi dan nilai murni. Secara keseluruhannya, KSSR ini adalah berkonsepkan pembelajaran yang memberi faedah kepada pelajar untuk bekalan sepanjang kehidupan, penyediaan asas di peringkat awal serta sebagai persiapan mental untuk menjadi anak bangsa yang sentiasa bersedia menghadapi segala cabaran dan berani melontarkan idea yang kreatif dan inovatif serta mempunyai jati diri yang unggul sebagai rakyat Malaysia. Pelaksanaan kreativiti merentas kokurikulum ini haruslah melibatkan pengajaran secara kreatif oleh guru. Guru akan membuat persediaan mengajar, membentuk imaginasi pelajar, mengikuti perkembangan setiap pelajar dan akhir sekali melaksanakan tindakan terhadap sesi pembelajaran tersebut.

 Hubungkaitan setiap komponen bagi membentuk Modal Insan

            Berasaskan peta minda di atas, kita dapati kerajaan bersungguh-sungguh memajukan rakyat dan negara. Pelbagai usaha dilaksanakan untuk kemajuan itu. Hal ini dapat kita lihat  melalui pelbagai pergerakan dasar dan perancangan, termasuklah melalui pembinaan falsafah pendidikan dan kurikulum pembelajaran di sekolah. Usaha itu digerakkan seawal usia dan dalam pelbagai bidang yang bersesuaian dengan kebolehan diri pelajar. Langkah itu adalah sesuai, bak kata pepatah Cina, perjalanan beribu batu bermula dari langkah pertama. Maksud langkah pertama, dalam konteks ini, ialah memajukan insan seawal usia melalui aktiviti pengajaran dan pembelajaran di sekolah. Kita telah dapat memahami dan menimba beberapa pengetahuan yang baru dan cukup bermakna. Kita dapat melihat bagaimana kepentingan setiap kemahiran berbahasa tersebut dalam memperkembangkan potensi dan keupayaan setiap individu terutamanya dalam kanak-kanak yang merupakan sebagai pelajar. Kita juga dapat melihat dalam hal ini bagaimana penekanan sangat diberikan seperti yang termaktub di dalam Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Hal ini menunjukkan bahawa penguasaan dan pengetahuan dalam kemahiran-kemahiran berbahasa ini sangat penting bagi mencapai pernyataan yang termaktub dalam kedua-dua dokumen tersebut iaitu Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah. Tidak cukup dengan hanya pengetahuan tersebut, kita juga telah melihat bagaimana pelaksanaan amali dalam menggunakan dan mengaplikasikan kemahiran berbahasa tersebut telah membantu meningkatkan dan mengukuhkan lagi pengetahuan dalam hal tersebut. Sesungguhnya, pengetahuan dan penguasaan dalam aspek kemahiran berbahasa ini amat berguna dan mempunyai nilai yang sangat tinggi dalam meningkatkan lagi kemahiran-kemahiran dalam diri kita sebagai bakal pendidik kelak.

Jangkaan terhadap pembangunan modal insan kepada murid
 Seterusnya melalui pembelajaran Bahasa Melayu pelajar dapat diterapkan nilai-nilai murni sejajar dengan Falsafah Pendidikan Kebangsaan dan Objektif Sukatan Pelajaran Bahasa Melayu Sekolah Rendah yang mahu mewujudkan insan yang seimbang dan harmonis dari segi intelek, rohani, emosi, dan jasmani, berdasarkan kepercayaan dan kepatuhan kepada Tuhan. Tujuan uasaha ini adalah untuk melahirkan rakyat Malaysia yang berilmu pengetahuan, berketerampilan, berakhlak mulia, bertanggungjawab dan berkeupayaan mencapai kesejahteraan diri serta memberi sumbangan terhadap keharmonian dan kemakmuran keluarga, masyarakat dan negara. Sekaligus dapat mengotakan impian negara kita yang mahu melahirkan modal insan untuk menerajui kepimpinan dan kemakmuran negara pada masa depan. Melalui pantafsiran Y.A.B. Perdana Menteri, Dato' Seri Abdullah Haji Ahmad Badawi terhadap makna modal insan adalah modal insan sebagai generasi hadapan yang merupakan aset insani Malaysia yang paling penting dalam usaha Kerajaan merealisasikan kewujudan sebuah Negara Bangsa yang Maju, Cemerlang, Gemilang dan Terbilang menjelang WAWASAN 2020. Beliau telah mencetuskan revolusi idea dalam memberi penekanan terhadap usaha membangunkan Modal Insan sebagai satu landasan kecemerlangan generasi hadapan. Oleh yang demikian, bagi merealisasikan matlamat tersebut, negara sentiasa berusaha menyediakan tenaga kerja berwibawa yang berbekalkan ilmu pengetahuan dalam pelbagai bidang, termasuk sains dan teknologi. Modal insan merupakan individu yang berilmu, berkeyakinan, mempunyai nilai murni dan moral yang tinggi, beretika, berbudi pekerti, bersopan-santun, berdisiplin, dinamik, inovatif, kreatif, sihat, bersemangat patriotik, adil, progresif, cekal dan berdaya saing. Inilah modal insan yang memiliki personaliti unggul yang negara kita impikan. Merekalah yang akan menentukan hala tuju negara pada masa hadapan. Dan menjadi pemimpin bagi meminpin negara kita supaya menjadi sebuah negara yang aman dan harmoni. Penyerapan nilai murni dalam pendidikan Bahasa Melayu adalah untuk melahirkan modal insan yang baik serta memiliki akhlak mulia. Selain itu, penghayatan dan amalan nilai murni bertujuan membentuk generasi muda yang berhemah tinggi dan berperibadi mulia. Keperihatinan dan pemahaman bahawa Malaysia ialah negara pelbagai budaya harus dipupuk secara langsung dan tidak langsung. Ini seterusnya dilanjutkan kepada pemahaman di peringkat antarabangsa selaras dengan keperluan globalisasi. Unsur patriotisme dan kewarganegaraan yang diserapkan dalam pengajaran dan pembelajaran mengutamakan pemupukan semangat cinta dan taat akan tanah air negara kita. Di samping itu, pemupukan unsur ini bertujuan untuk melahirkan warganegara yang baik dan meningkatkan komitmen individu terhadap bangsa dan negara. Oleh yang demikian, terbuktilah bahawa Falsafah Pendidikan Kebangsaan negara kita mampu melahirkan modal insan hasil penguasaan kesemua kemahiran yang dititikberatkan di dalam falsafah tersebut. Hal ini amat penting dalam proses pengajaran dan pempelajaran supaya berjalan dengan lancar dan berkesan.

Kesimpulan
Izharnya, pendidikan menguatkan pembinaan modal insan. Individu yang berpendidikan lebih berjaya di tempat kerja dan kurang memerlukan bantuan. Keluarga yang berpendidikan juga akan membantu memperkukuhkan modal insan setiap individu yang ada di dalamnya. Modal insan yang berkualiti merupakan elemen paling kritikal dalam mencapai matlamat negara kita dalam  membangunkan modal insan untuk memacu transformasi ke arah ekonomi berasaskan pengetahuan. Oleh yang demikian, Pendidikan yang membina modal insan masyarakat dan negara adalah sangat penting dan perlu terus diberi perhatian. Kerjasama semua pihak amatlah dialu-alukan sama ada dari pihak guru, ibu bapa, pelajar dan juga masyarakat. Pemahaman mengenai kepentingan modal insan perlu diberi penekanan di kalangan rakyat supaya mereka memahaminya dan memastikan apa yang dirancang dapat dilaksanakan serta mencapai matlamat. Bagi memastikan Malaysia maju mengikut acuan yang tersendiri, pembangunan modal insan secara menyeluruh dan bersepadu perlu dijalankan supaya dapat membentuk individu  berketerampilan dan berkualiti dalam melahirkan modal insan yang cemerlang, gemilang dan terbilang demi negara Malaysia yang Tercinta.
 

No comments:

Post a Comment

Sila Tinggalkan Komen Anda :)

All rights reserved. Copyright © 2012 Salimah Lilin